25 March 2012

Sambutan Hari Polis Ke-205

Hari ini, 25 Mac 2012, SMK Kota sekali lagi diberi penghormatan untuk menyertai perbarisan peringatan hari polis ke-205 bertempat di IPK Kelantan. Dibarisi seramai 37 anggota termasuk sarjan, skuad kita tampil segak di pekarangan IPK untuk sama-sama memeriahkan Hari Polis yang disambut setiap tahun itu yang diadakan untuk menghargai jasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga keselamatan negara ini sejak pihak berkuasa berkenaan ditubuhkan pada 1807.PDRM membawa kelainan pada sambutan kali ini apabila mereka memperkenalkan maskot rasmi PDRM, Sang Saka Biru iaitu seekor harimau yang mana melambangkan keberanian dan kekentalan setiap anggota PDRM.



Majlis yang berlangsung seawal jam 8 pagi itu berjalan dengan lancar walaupun skuad kita ada membuat beberapa kesilapan yang tidak patut diulangi seperti datang lambat. Perkara ini tidak patut dipandang ringan  kerana disiplin adalah nadi utama penubuhan KKP itu sendiri tetapi memandangkan skuad SMK Kota dibarisi ramai anggota pelapis, perkara ini dapat dimaafkan. Walaubagaimapun, disiplin anggota ketika berada di atas trak polis patut diberi pujian kerana setiap anggota menunjukkan disiplin yang baik serta menunjukkan sikap yang positif selaras dengan tema hari polis ke-205 iaitu Komuniti Sejahtera, Matlamat Kami.



Antara acara-acara yang dijalankan pada sambutan hari polis kali ini, seperti sambutan-sambutan sebelumnya ialah pembacaan watikah ketua polis negara iaitu Tan Sri Ismail Omar yang dibacakan oleh ketua polis Kelantan sejurus selepas lagu Negaraku dan Selamat Sultan dinyanyikan. Kemudian, berlangsungnya acara penyampaian anugerah. Walaupun terpaksa berdiri sepanjang upacara dibawah panas matahari namun skuad kita patut dipuji kerana tiada seorangpun yang pengsan walaupun ada beberapa ahli dari sekolah lain yang tumbang. Selepas penyampaian anugerah, upacara diteruskan dengan nyanyian lagu Sang Saka biru diikuti dengan lagu Polis Sedia Berkhidmat yang dinyanyikan penuh semangat oleh semua hadirin diiringi oleh koir IPK Kelantan. Acara bersurai sejurus berakhirnya nyanyian dan semua hadirin pergi ke dewan terbuka IPK untuk jamuan ringan. Skuad kita terus pulang ke sekolah selepas itu.